Ciri-ciri lelaki idaman? Kalau itulah soalan yang ditanya, tak tahulah macam mana aku nak jawab. Memang ciri-ciri lelaki idaman tu dah aku ‘list’kan dalam kepala aku ni, tapi kalau nak bagi tahu orang seganlah pula. Yelah, ciri-ciri tu agak kelakar bagi aku. Lagipun ada kawan-kawan aku yang pernah gelakkan aku kerana ciri-ciri lelaki idaman aku itu tak sama macam mereka. Ala, kalau sama aku rembat jelah dorang punya boyfriend! Betul tak? Buat apa aku susah-susah nak cari kalau ciri-ciri tu ada pada boyfriend diorang. Hehehe…! Macam jahat pula aku ni!
Nak tahu maca mana lelaki yang aku suka? Erm…! Orang tu mestilah comel, susah nak senyum, susah untuk kita faham apa yang dia fikirkan kira macam orang yang ‘complicated’ la. Dan paling penting, muka dia mesti macam perempuan dari semua sudut sekalipun, setiap kali kita pandang muka dia mesti perempuan. Ha… kan susah nak cari tu? Tapi aku tak pernah penat mencari lelaki macam tu walaupun satu dalam seribu. Harap-harap Tuhan temukan aku dengan orang macam ni. Amin!
Tapi sekarang ni aku bukan nak ceritakan tentang jejaka idaman aku yang tak tahu sama ada wujud atau tidak tu. Sekarang masanya untuk aku mengurangkan tension aku ni. Maklumlah cuti semester baru je tiba masa nilah kita nak ‘enjoy’. Dan seorang rakan aku ni pun cadangkan untuk pergi ke pulau. Haih, aku tak mungkin lepaskan peluang ni. Manalah tahu kot-kotlah terjumpa berkenan di hati. Hehehe…! Boleh tahan jugak gatal aku ni!
15 minit kami menaiki bot ini untuk ke pulau yang dimaksudkan. Sempat juga aku perhatikan keadaan laut yang tenang. Wah, ni betul-betul release tension ni! Itu sahaja yang bermain di fikiran aku. Sempat aku memandang teman-temanku yang sibuk berbual. Entah apa yang mereka bualkan sampai aku sendiri tidak tahu dan malas untuk ambil tahu.
“Hei, tengok sana!” kedengaran salah seorang dari mereka berkata. Aku mengangkat muka dan memandang ke arah yang ditunjukkan olehnya. Sebuah pulau yang kelihatan damai berada tidak jauh dari kami. Aku tersenyum lebar dan segera mengeluarkan kamera dari poket beg. Terus mengambil gambar pemandangan yang ku rasakan indah itu.
Tak lama kemudian kami tiba di pulau itu. Dengan rasa tidak sabar kami terus melangkah keluar dari bot itu setelah membayar tambang. Beg terus kusandang ke belakang, dan aku kembali sibuk mengambil gambar pemandangan sekitar pulau. Terasa nyaman sungguh.
“Eiza, tolong angkat barang aku ni!” Kedengaran namaku dipanggil, aku memandang Naza yang terkial-kial mengangkat begnya itu. Aku hanya menggelengkan kepala. Yelah, dah tahu nak bercuti kejap je, bawak sikit sudahlah barang-barangnya. Ini macam nak pindah rumah sahaja lagaknya. Tapi aku hanya mengomel dalam hati sahaja.
Kami sama-sama melangkah kearah sebuah chalet yang terdapat di situ. Aku mengangkat kepala, mendongak ke langit yang terbentang luas. Wah, memang bestlah pemandangan dekat sini! Kalau macam ni memang bertambahlah koleksi gambar pemandangan aku. Hehehe…! Aku mengangkat tangan tinggi seolah-olah cuba mengapai langit itu. Walaupun aku tahu langit itu memang susah untuk digapai. Melainkan kalau naik kapal terbang ataupun roket, sah-sah dapatlah aku dekat dengan langit tu. Aiseh, merepek plak aku ni!
Kami mendekati seorang penyambut tetamu yang sudah tersenyum lebar menyambut kedatangan kami. Tanpa berlengah masa, kami terus mendaftarkan nama. Kami menulis nama di dalam sebuah buku besar dan tebal. Dia berpaling, membelakangi kami. Tangannya sibuk mencari kunci yang diletakkan di dalam sebuah almari kaca. Apabila menjumpai kunci bilik kami, dia kembali memandang kami sambil tangannya menyerahkan kunci tersebut. Naza menyambut kunci itu sambil tersenyum manis.
“Jom!” Naza memandang aku dan Anis yang setia menunggu. Lambat-lambat sahaja kaki kami melangkah menuju ke bilik. Mataku lebih banyak memandang sekeliling. Suara Naza dan Anis yang sedang berbual itu seolah-olah tenggelam timbul dalam deruan ombak. Aku menarik nafas panjang-panjang, menghirup udara segar.
Tak lama kemudian, kami tiba di sebuah pondok kecil. Naza membandingkan nombor pada kunci itu dengan nombor yang tertera di pintu pondok tersebut. Pasti itulah bilik yang akan kami menginap selama tiga hari itu. Mereka mendaki tangga pondok itu, sementara aku masih sibuk dengan kameraku.
“Best betul bilik tu.” Beritahu Anis. Aku berpaling memandangnya yang sudah berdiri di belakangku. Entah bila dia muncul di belakang, aku sendiri tidak sedar.
“Tak sia-sia kita datang sini, kan?” Balasku pula. Dia menganggukkan kepalanya. Senyuman manis terukir di bibirnya. Matanya meliar memandang sekelilingnya. Jelas terukir garis kegembiraan di wajahnya. “Cantik, kan tempat ni?” Soalku. Turut sama memandang kawasan sekitar. Dia hanya mengangguk kecil. Senyumannya tetap meleret di bibirnya yang mungil.
Pokok-pokok kelapa ditanam sederet dan beberapa buah kerusi kayu diletakkan mengadap pantai. Matahari sudah meninggi dan cahayanya terpantul pada air laut yang terbentang di hadapan kami. Laut kelihatan bersinar dan ombak memukul pasir memutih. Keajaiban Tuhan memang mengagumkan.
“Eh, Eiza!” aku memandang Anis setelah bahuku dicuitnya. Aku memandangnya hairan. “Kau tengok sana!” Sambungnya sambil jari telunjuknya ke satu arah. Aku memandang ke arah yang ditunjuk olehnya itu. Serta merta mataku membulat dan mulutku terbuka. Terkejut dengan apa yang aku lihat dengan mataku sendiri. “Mamat tu macam jejaka idaman kau je.” Kedengaran suara Anis sedikit mengejek, namun saat itu kakiku sudah melangkah mendekati tempat pemuda itu. Suara Anis kini kedengaran sayup-sayup.
Aku berdiri betul-betul di hadapannya. Lama mataku memandang seraut wajah yang sedang terlena. Kulitnya putih melepak, rambutnya sedikit panjang dan berjuntai menutupi dahinya. Keningnya terbentuk cantik, matanya masih terpejam, tidak sedar dengan kehadiranku di situ. Hidungnya sedikit mancung dan sedang-sedang sahaja saiznya, sesuai dengan bentuk wajahnya. Aku segera menghala lensa kameraku ke wajah itu, terus mengambil gambarnya.
Aku tunduk sedikit, menguis rambutnya supaya dapat melihat wajah itu lebih jelas. Sekali lagi lensa kamera dihalakan dan aku aku terus menekan butang. Mengambil gambar wajah itu. Sememangnya dia cukup comel dan pastinya mempunyai wajah seperti perempuan. Angin yang bertiup menyebabkan rambutnya menutupi dahinya. Tanpa teragak-agak aku menguis rambutnya ke belakang. Dan saat itu keningnya berkerut. Aku pula sudah terasa teruja. Reaksi yang cukup comel pada pandanganku, serta merta aku tersenyum manis.
Tiba-tiba tanganku digenggam erat. Aku tersentak. Memandang tanganku yang sudah digenggam. Pemuda itu membuka matanya dan jelas dia terkejut dengan kehadiranku di situ. Aku pula kaget apabila matanya tajam merenung mataku.
“Siapa kau?” soalnya. Tanpa menjawab soalannya, aku terus merentap tanganku dan terus berlalu meninggalkan pemuda itu yang terpinga-pinga.
Aku berlari mendapatkan Naza dan Anis yang memandang tingkahku sedari tadi. Wajahku yang merah padam itu membuatkan mereka tertanya-tanya. Cepat-cepat aku menarik tangan mereka dan terus berlalu ke bilik kami.
“Mamat tu memang comel!” beritahuku, selamba. Senyuman masih melebar di bibirku. Mereka memandangku, terpinga-pinga. Aku melabuhkan punggung dan duduk di hadapan mereka. “Aku dah jumpa orang yang aku cari.” Sambungku lagi dengan senyuman yang tak putus-putus. Mereka pula hanya menggelengkan kepala.
* * *
Aku memandang jam di tangan. Hamper pukul 9.00 malam. Cepat-cepat aku mencapai topi kesayanganku, lalu memakainya. ‘Sweater’ku yang disangkut di kerusi terus dicapai. Terkocoh-kocoh aku memakai ‘sweater’ itu dan keluar dari bilik. Teman-temanku yang lain sudah lama menunggu di restoran yang terdapat di chalet itu.
Dengan kalut aku mengunci pintu bilik dan melangkah turun. Cepat-cepat aku berjalan menuju ke arah restoran itu yang letaknya tidak jauh dari bilik-bilik di chalet tersebut. Saat aku tiba di situ, mataku mula meliar mencari kelibat Naza dan Anis.
Tiba-tiba mataku terpandang mereka yang sedang berbual dengan dua orang pemuda. Aku tertanya-tanya, siapakah mereka. Tanpa memikir panjang aku mendekati mereka dan memberi salam. Hampir serentak salamku dibalas oleh teman-temanku serta pemuda-pemuda asing itu. Saat itu juga empat pasang mata memandangku. Aku mengangkat tanganku sambil tersenyum seraya tanganku menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di sebelah Naza.
“Jadi awak Eiza, ya?” soal salah seorang pemuda itu. Aku memandangnya sambil menganggukkan kepala. Dia menghulurkan tangannya dan dengan tenang aku menyambut huluran tangannya. “Saya Johan. Ini Hakim.” Beritahunya, memperkenalkan temannya itu. Kami bersalaman.
“Harap awak tak kisah kami join makan malam.” Beritahu Hakim. Aku hanya tersengih sambil memberitahunya yang aku tidak kisah.
Mataku sempat menganalisa mereka berdua. Johan, orangnya kelihatan sedikit bergaya dengan t-shirt dan jeans gelap. Rambutnya juga disapu gel dan kelihatan seolah-olah tegak berdiri. Kulitnya sedikit sawo matang dan mempunyai senyuman yang manis. Hakim pula lebih sederhana. Dia menyarung ‘snow’ kep di kepalanya dan hanya bert-shirt lengan pendek dan berseluar trek. Lebih ‘simple’. Namun, pastinya kedua-duanya peramah benar.
“Lambat pula budak tu.” Kata-kata Johan itu menyentakkan aku dari lamunan. Aku memandangnya sedikit hairan. Siapa yang dorang tunggu? Fikirku.
“Budak mana?” Soal Anis. Dan baru sahaja Hakim ingin menjawab pertanyaan itu, satu suara menyapa kami. Suaranya perlahan sahaja di telingaku. Aku hanya mengerling dengan ekor mata apabila si empunya suara menarik kerusi lalu duduk di sebelahku.
“Lambat betul kau, bro!” Johan berkata sambil menggelengkan kepalanya. Jelas dia tidak suka dengan kelewatan temannya itu. Kedengaran pemuda itu menghela nafas panjang, bunyinya seperti kebosanan.
“Sorry!” Pendek sahaja dia berkata.
“Well, aku kenalkan. Yang ni Anis, sana tu Naza dan sebelah kau tu Eiza.” Johan memperkenalkan kami bermula dari Anis yang duduk di sebelahnya dan kemudian pada Naza dan akhir sekali aku. Rakan-rakanku sekadar mengangkat tangan dan tersenyum. Pemuda itu pula hanya menganggukkan kepalanya. Aku berpaling memandangnya dan saat itu juga aku terkaku. Dia pula kelihatan sedikit terkejut. “Ini Ayie.” Suara Johan tenggelam timbul dipendengaran ku, namun nama itu sudah terpahat kukuh di hatiku saat itu.
Cepat-cepat aku menghulurkan tangan ku. Tak mungkin aku melepaskan peluang ini. Dapat berkenalan dengannya membuatkan aku lupa sebentar tentang teman-temanku. Semuanya kerana jejaka idaman sudah berada di hadapan mata. Dia memandang tangan ku sekilas lalu mengalihkan pandangannya ke meja.
“I don’t shake hands with girls.” Beritahunya pendek dan perlahan. Lambat-lambat aku menarik tanganku dan kembali menghadap meja. Sedikit terasa dan malu dengan kata-katanya itu.
Dan malam itu kami berenam menghabiskan masa bersama dengan berbual. Well… bukan kami berenam sebenarnya kerana Ayie lebih banyak membisu dan hanya memerhati tingkah teman-temannya. Sesekali dapat aku lihat dia menggelengkan kepalanya sambil tersenyum sinis. Aku tertanya-tanya apakah maksud gelengan dan senyuman sinisnya itu.
Aku memilih untuk duduk di tempat yang membolehkan aku memandangnya tanpa dia sedari. Mataku mula menganalisa dirinya. Seperti yang aku katakan, tak mungkin aku lepaskan peluang ini. Setelah sekian lama akhirnya aku berjumpa juga dengan orang yang aku tunggu. Satu dalam seribu.
Dia memakai t-shirt lengan panjang dan berseluar pendek. Rambutnya diikat kemas ke belakang, dan tidak lupa cermin matanya yang membuatkan dia kelihatan sedikit matang tetapi tetap comel di mataku. Comel dan ‘cantik’! Ya, perkara yang betul tentangnya. Dan tiba-tiba dia mengangkat muka, memandang tepat ke wajahku. Cepat-cepat aku mengalihkan pandanganku. Berpura-pura seolah-olah asyik mendengar cerita Johan dan Hakim.
* * *
Tepat jam 8.00 pagi aku tersedar daripada tidurku. Aku mencapai tuala yang tersangkut sebelum melangkah ke bilik air. Sempat juga aku menjeling ke arah teman-temanku yang masih enak dibuai mimpi. Aku hanya tersenyum.
Lima minit kemudian aku keluar dari bilik air. Siap berpakaian. Aku melangkah ke arah cermin. Menyikat rambutku yang pendek separas bahu dan terus menyangkut kameraku ke leher. Pastinya aku tidak akan ke mana-mana tanpa topiku. Setelah aku yakin yang aku telah siap, aku terus melangkah keluar dari bilik. Langsung tidak berniat untuk mengejutkan mereka dari tidur. Biarlah mereka berehat.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Terasa damai sungguh. Mataku terpandang bot-bot nelayan yang baru sahaja meninggalkan kawasan pantai. Cantik! Fikirku. Terus melangkah turun sambil menghala lensa kameraku ke arah nelayan-nelayan itu.
Dan pagi itu, aku tidak melepaskan peluang bersiar-siar sendirian. Sambil menghirup udara segar, aku juga tidak pernah lupa untuk mengambil gambar pemandangan indah itu. Mataku meliar mencari sudut yang ku rasakan menarik. Sesekali apabila aku berasa penat berjalan, aku akan duduk di salah sebuah kerusi kayu yang terdapat di situ. Dan saat itu juga aku terpandangkan seorang pemuda yang baru sahaja melangkah keluar dari air. Lensa terus ku halakan ke arahnya, dan tanpa berfikir panjang aku menekan butang. Mengambil gambarnya. Aku tersenyum puas, dan gembira pada masa yang sama. Comel betul! Getus hatiku, masih memandangnya dari kejauhan. Namun wajahnya masih dapatku lihat dengan jelas. Dan lensaku berjaya menangkap detik itu.
* * *
“Kami balik esok.” Beritahu Hakim padaku. Aku sedikit terkejut. Ala, tak dapatlah aku jumpa mamat tu lagi! Getus hatiku. Aku memandang Hakim yang sedang menyedut minumannya itu. Dia mengangkat muka, memandangku sambil tersenyum. “Ini nombor saya. Apa-apahal call je, okey?” ujarnya sambil menghulurkan secebis kertas padaku. Aku hanya tersenyum dan menganggukkan kepalaku. Acuh tak acuh sahaja aku menyambut huluran kertas itu dari tangan Hakim.
Antara mereka bertiga, Hakim lebih rapat denganku. Tambahan pula sikapnya yang gila-gila itu, tidak ubah sepertiku. Membuatkan kami lebih cepat ‘ngam’. Lagipun, dia muda setahun daripadaku, lebih senang untuk ku anggapnya seperti adikku sendiri. Sekurang-kurangnya dapatlah aku korek rahsia darinya tentang Ayie. Hehehe..! Kira macam ambil kesempatanlah.
“Aku balik dulu.” Perlahan sahaja suara itu berkata. Aku mengangkat muka, memandang Ayie yang duduk bertentangan denganku. Seperti biasa matanya tajam menikam wajahku. Aku bernar-benar tidak mengerti dengan maksud pandangan matanya itu. Namun apa yang aku pasti dia tidak mesra denganku, malah layanannya sedikit dingin terhadapku tidak seperti layanannya terhadap teman-temanku yang lain. Dia kelihatan mesra sekali tatkala berbual dengan Naza dan Anis.
“Aik? Kata nak lepak dulu malam ni? Kan esok dah nak balik.” Johan berkata. Memandang temannya yang sudah menolak kerusi. Ayie hanya menggelengkan kepalanya, terus bangun dan melangkah meninggalkan kami. Aku hanya menghantar langkahnya dengan ekor mata. Sedikit kecewa.
Malam itu aku berkisar di katil. Sesekali berkalih ke kiri dan kemudian ke kanan. Merenung siling bilik itu lama, dan sekali lagi aku memejamkan mataku, namun wajah itu masih bermain di fikiranku. Pandangan matanya membuatkan aku tertanya-tanya. Dan entah mengapa aku rasa bersalah apabila teringatkan tentang pandangannya itu. Adakah dia tidak suka Hakim rapat dengan aku? Aku tertanya-tanya sendiri. Serta merta wajahku berubah warna. Kalau macam tu, dia pun sukakan akulah. Yes, yes! Hatiku melonjak kegembiraan. Peluang baik punya. Tapi… macam syok sendiri pula!
* * *
Seperti biasa, tepat jam 8.00 pagi aku berlari masuk ke dalam bilik air. Mandi dan menukar pakaian secepat mungkin. Tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemunya buat kali terakhir. Lagipun, belum tentu dia akan bertemuku lagi apabila kami pulang ke bandar nanti. Hai, dapat tengok dari jauh pun dah cukup! Getus hatiku.
Kelam kabut aku keluar dari bilik. Serta merta suara Hakim terngiang-ngiang di telingaku. “Kitorang bertolak pukul 9.00.” Pukul 9.00? Aku memandang jam di tangan. Tepat pukul 8.20 pagi. Ada masa lagi! Aku memberitahu diri ku sendiri. Apabila tiba di jeti yang tidak jauh dari chalet tempat kami menginap, aku menarik nafas dalam-dalam. Sesekali mataku meliar mencari kelibat mereka, terutamanya Ayie. Namun, wajahnya tidak kelihatan. Aku mengeluh, sedikit hampa. Takkanlah dah bertolak? Fikirku.
“Kau cari siapa?” kedengaran satu suara yang amat aku kenali menegur. Cepat-cepat aku berpaling, memandang seraut wajah yang telah membuatkan aku gila bayang berdiri di belakangku. Ayie! Nama itu bergema dalam hati. Aku kembali kalut, namun tetap berpura-pura tenang.
“Saya ingat awak… erm… korang dah bertolak.” Balasku sedikit gugup. Dia hanya membisu. Aku memandangnya lama-lama. Dan seperti hari-hari yang berlalu, dia masih kelihatan ‘cantik’. Aku rasa kalau dah suka tu, orang tu tetap akan kelihatan sempurna tak kira apapun yang dipakainya. Adatlah kalau dah jatuh cinta. Hehehe…!
“Kalau kau cari Hakim, dia ada kat sana.” Beritahunya sambil menunding jarinya ke satu arah.
“Saya cari awak!” jawapan spontan itu membuatkan dia tergamam. Aku pula cepat-cepat menutup mulutku. Tidak menyangka yang aku akan berkata begitu. Serta merta aku tunduk menyembunyikan wajahku yang sudah merah padam. Darah gemuruh aku dah sampai!
“Kau ni kelakar betullah!” ujarnya. Aku mengangkat muka memandang dia yang sudah menutup mulutnya dengan tapak tangan. Jarinya yang panjang dan cantik itu membuatkan aku terpaku seketika apabila terpandangkan sebentuk cincin yang tersarung di jari manisnya. “Aku pergi dulu.” Sambungnya terus melangkah meninggalkan aku yang masih tertanya-tanya tentang cincin itu.
Entah mengapa aku berasa patah hati apabila teringat tentang cincin itu. Mungkinkah dia sudah berpunya. Maknanya aku dah terlepas peluang untuk kenal dengan dia. Maksud aku kenal dengan lebih rapat. Aku hanya memandang dia yang sudah jauh berlalu. Tubuhnya yang tinggi lampai itu menghilang di balik orang ramai. Aku menghela nafas panjang.
* * *
Lama aku memandang ke luar tingkap. Sebulan berlalu sejak kali terakhir aku bertemu dengannya. Puas aku lakukan untuk lupakan dia, tetapi wajahnya tetap bermain di fikiranku. Hanya Hakim yang masih berhubung denganku. Sempat juga aku mengorek rahsia tentang Ayie daripadanya. Tentang siapa dia dan aku sudah mendapat jawapan tentang cincin yang tersarung di jari manisnya itu.
Pastinya setiap soalan aku tentangnya membuatkan Hakim dapat menghidu tentang perasaanku terhadap temannya itu walaupun berkali-kali aku menidakkannya. Masih aku ingat perbualan kami malam tadi. Dan ia membuatkan aku termalu sendiri. Hai, macam perigi cari timba pula aku ni!
“Awak suka dia, ya?” soalan itu menerjah benakku. Aku hanya ketawa, berpura-pura tidak mengerti. Hakim pula ketawa mengejek. “Kalau suka cakap je. Lagipun dia tu memang ramai peminat. Jadi awak kenalah usaha sikit, ya? Awak nak nombor dia? Saya boleh bagi.” Sambungnya panjang lebar. Aku terdiam seketika, berpura-pura keberatan untuk mengambil nombor Ayie. Namun, saat Hakim tetap berkeras menyuruh aku menyalinnya aku tetap menyalin nombor-nombor itu dengan senang hati. Hehehe…! Bukan selalu. Inilah yang dikatakan malu tapi mahu.
Aku mengalihkan pandanganku pada telefon bimbitku yang digenggam sedari tadi. Masih berfikir, patutkah aku menelefonnya. Tapi apa yang harus aku katakan? Aku masih keberatan. Tapi apa salahnya mencuba, kan? Aku menarik nafas lama sebelum menghembusnya lambat-lambat. Aku menekan-nekan butang kekunci pada telefon itu, mencari namanya. Apabila sudah menjumpai nombor yang dicari aku terus menekan butang hijau.
Lama aku menunggu sebelum satu suara menyapa memberi salam. Cepat-cepat salamnya ku jawab. Aku menarik nafas lega kerana dia mengangkat telefon itu. “Siapa ni?” pendek sahaja soalannya.
“Saya… erm… Eiza!” balasku lambat-lambat. Kedengaran suaranya berkata “Oh!” seolah-olah aku mengganggunya. Aku mula rasa serba salah. “Maaflah kalau saya kacau… tapi… awak sihat?” soalku pula. Dia hanya menjawab “Erm!” Itu maknanya dia sihat. Fikirku.
“Kau nak apa?” soalnya pula. Aku meneguk air liur. Huih, mamat ni memang sombong! Tapi aku tetap suka dia, jadi aku buat-buat tak tahu je pasal sikap sombongnya itu. Getus hatiku. “Nak apa?” keras suaranya bertanya, membuatkan aku tersentak lamunanku.
“Erm… saya nak jumpa awak, boleh? Esok, ya? Saya tunggu dekat KLCC pukul 10.00 pagi.” Cepat sahaja aku memberitahunya tentang itu. Langsung tidak menunggu jawapan darinya. Kedengaran nafasnya keras menyapa telingaku.
“Tengoklah kalau rajin aku pergi.” Balasnya dingin.
“Saya tunggu sampai awak datang.” Beritahuku pula. Belumpun sempat aku menghabiskan kata-kataku, dia terus mematikan talian. Aku memandang telefonku dengan pandangan kosong. Namun, aku pasti yang dia akan datang juga. Entah mengapa keyakinan itu datang member harapan yang aku kurang pasti palsu atau tidak.
* * *
Aku memandang jam di tangan. Tak kira macam mana lewat pun dia aku akan tetap sabar menunggu. Apabila teringatkan pertemuan hari ini aku tersenyum sendiri. Sedar atau tidak aku sudah beberapa kali keluar bersamanya. Masih berasa bahagia walaupun dia jarang sekali bersuara apatah lagi tersenyum. Dia yang bersikap berpura-pura tidak ambil tahu itu sebenarnya sangat mengambil berat. Masih aku ingat beberapa hari lalu aku sedikit pening, maklumlah berjaga sepanjang malam dan dia tanpa dipinta menemaniku ke klinik. Walaupun dia diam membisu sepanjang perjalanan namun wajahnya jelas terlukis garis kerisauan. Semuanya ciri-ciri yang aku suka. Walaupun sesekali aku berasa yang dia terpaksa melayan kerenahku, tapi aku tetap tidak peduli tentang itu. Berasa seolah-olah aku semakin mementingkan diriku sendiri.
“Hei!” kedengaran satu suara menyapa. Cepat-cepat aku berpaling. Senyumanku sudah melebar. “Sorry lambat!” beritahunya. pendek sahaja tanpa alasan. Aku hanya menganggukkan kepalaku.
“Jom! Kita nak pergi mana dulu, ya?” soalku pula. Dia hanya menjungkit bahu dan terus melangkah. Cepat-cepat aku berlari mendapatkannya. Kakinya yang panjang itu membuatkan aku ketinggalan jauh di belakang.
Aku hanya melangkah perlahan-lahan di belakangnya. Dan seperti biasa tanganku tidak pernah penat mengambil gambar terutama gambarnya. Tiba-tiba langkahku mati. Aku berpaling ke kanan ku. Mataku mula bersinar-sinar tatkala terpandangkan dua ekor arnab yang comel di dalam kedai haiwan itu. “Comelnya!” kataku sendirian. Aku meletakkan jariku pada cermin kaca itu, seolah-olah cuba menyentuhnya.
“Kalau suka beli ajalah!” kedengaran satu suara menegur. Aku berpaling sedikit ke kiriku. Tubuhku terkaku apabila wajahnya hampir benar dengan muka ku. Dapat aku rasakan haba dari tubuhnya. Jantungku mula berdegup kencang. Mataku masih menatap wajahnya walaupun dia hanya memandang ke arah arnab-arnab comel itu.
“Honey?! You ke tu?” suara itu mengejutkan kami. Serentak kami berpaling ke arah empunya suara itu. Seorang gadis cantik berdiri tidak jauh dari kami sambil tersenyum manis memandang Ayie yang sudah kelihatan sedikit terkejut. “It is you.” Sambung gadis itu, terus mendapatkan pemuda itu dan meraihnya ke dalam pelukannya. Ayie membalas pelukan itu sambil tersenyum manis. Senyuman yang tidak pernah aku lihat sebelum ini.
“Sayang, you buat apa kat sini?” soa Ayie saat dia melepaskan pelukannya. Gadis itu tersenyum. Ayie pula tidak lepas-lepas dengan senyuman manisnya itu. Entah mengapa aku berasa jauh hati apabila terpandangkan senyuman itu. Tambahan pula saat aku melihat dia memeluk gadis itu hatiku berasa hancur sekali.
Aku hanya memandang mereka berbual dan pastinya kewujudan aku seolah-olah dilupakan. Ayie langsung tidak memperkenalkan gadis itu dan membuatkan aku tertanya-tanya tentang siapakah dia. Apabila teringatkan tentang cincin itu aku mula berasa keliru. Teringat yang Hakim pernah memberitahuku tentang cincin itu yang sebenarnya milik arwah abang Ayie dan kini tingkah mereka yang begitu mesra membuatkan aku berfikir banyak kali. Mungkinkah gadis itu orang yang menghadiahkan cincin yang tersarung di jari manis Ayie itu? Aku meneguk liur yang terasa kelat.
“Pergi lunch sama-sama, nak? I dah lama tak lunch dengan you.” Kata gadis itu sambil meraih lengan Ayie. Pemuda itu menganggukkan kepala, bersetuju.
“Jom!” beritahunya, berpaling sedikit memandang aku yang hanya memandang tingkah mereka sedari tadi. Senyumannya mati saat itu. Aku hanya memandangnya dengan pandangan kosong. Cepat benar moodnya berubah. Dan itulah dia, orang yang aku suka hanya melayanku dengan dingin. Aku benar-benar tertanya-tanya tentang apa yang bermain di fikirannya. Dia kembali memandang gadis di sebelahnya dan mereka sama-sama melangkah meninggalkan aku yang masih kaku memandang mereka. Tidak berganjak walau selangkah.
“I don’t shake hands with girls!” ayat itu menerjah benakku. Aku terpandang tangan mereka yang erat tergenggam. Mataku mula berkaca dan apabila mereka sudah jauh melangkah meninggalkan aku, aku berpaling dan berlalu pergi. Tidak berminat untuk mengikuti mereka. Malah sebelum berlalu sempat aku mengambil gambar mereka dari belakang. Aku menghela nafas panjang dan melajukan langkah kakiku.
* * *
“Eiza aku keluar kejap, ya?” perlahan sahaja suara Naza di telingaku. Lambat-lambat aku menganggukkan kepalaku. Kecil sahaja mataku terbuka memandangnya. “Kalau apa-apa call aku, ya?” pesannya sebelum berlalu meninggalkan aku yang terlantar di atas katil, tidak berdaya.
Sudah dua hari aku demam. Dan sepanjang dua hari ini aku hanya mampu terbaring di atas katil. Disebabkan ayah tiada di rumah kerana bekerja di luar negara, terpaksalah aku menyusahkan Naza. Nasibku baik kerana dia sudi menemaniku. Aku merenung siling bilik dengan pandangan kosong. Entah mengapa aku teringatkan kejadian beberapa hari lalu. Sakit benar hatiku. Terasa seolah-olah aku dipermainkan, walhal tiada siapa yang mempermainkan aku kerana aku hanyalah sekadar syok sendiri. Itulah yang pasti.
Teringat malam itu, Ayie ada menelefonku kali pertama dia berbuat demikian. Namun suaranya jelas dia tidak suka dengan sikapku yang tiba-tiba sahaja pulang tanpa memberitahunya. Aku hanya memberitahunya yang aku terpaksa pulang. Hakikatnya aku hanya berbohong. Dan sebelum aku mematikan panggilan itu sempat aku memberitahu dia yang aku tidak akan mengganggunya. Beberapa kali aku memohon maaf sebelum mematikan panggilan itu walaupun dia belum sempat menghabiskan kata-katanya. Rasanya tiada apa yang perlu aku jelaskan kepadanya tentang sikapku itu.
Aku telah membuat keputusanku. Tekad! Walaupun aku sukakan dia dan dia mempunyai ciri-ciri yang aku suka. Tak mungkin bagiku untuk memaksanya menerimaku. Sangat tidak mungkin. Jadi aku lepaskan dia dan aku akan lupakan dia. Itulah yang bermain di fikiranku. Dan saat itu juga kepalaku berdenyut dan mataku memberat. Masih dibelenggu dengan apa yang terjadi hingga terbawa-bawa dalam mimpi.
Aku tidak sedar bila aku terlena kerana saat aku tersedar hidungku terbau makanan. Kepalaku terasa berat, perlahan-lahan aku meletakkan tanganku ke dahi. Memicit kepalaku yang terasa sakit dan berdenyut.
“Dah sedar?” kedengaran suara yang cuba aku lupakan mengetuk gegendang telingaku. Lambat-lambat aku berpaling memandang seraut wajah yang tersenyum manis memandangku. Mataku membulat kerana terkejut. Dia menongkat dagu dan seperti biasa matanya tajam menikam wajahku. Macam mana dia ada dekat sini? Aku bertanya diriku sendiri.
“Apa… awak buat dekat sini?” soalku teragak-agak. Berusaha untuk bangun, dan tanpa aku pinta dia membantuku untuk duduk. Aku terasa sedikit kekok dengan tingkahnya. “Thanks!” ujarku setelah aku dapat bersandar pada kepala katil. Masih setia memandang wajahnya dan pada masa yang sama aku cuba membalas pandangan matanya itu.
“Saya datang lawat awak.” Beritahunya selamba. Aku meneguk liur yang terasa kelat. Hairan dengan cara dia membahasakan dirinya. Tidak lagi ‘aku, kau’ seperti sebelum ini. “Agaknya kalau saya tak terserempak dengan Naza tentu tak tahu yang awak dah sakit.” Sambungnya lagi. Aku hanya membisu dan apabila terpandang cincin di jarinya aku menjadi sedikit marah. Cepat-cepat aku mengalih pandanganku. Tidak mahu memandangnya, walaupun pada hakikatnya dia tetap di hatiku.
“Terima kasih sebab datang. Tapi saya tak rasa nak jumpa awak sekarang. Jadi awak balik ajalah. Lagipun, saya baru aja cuba nak lupakan awak.” Kataku selamba. Menggenggam jemari sendiri dan mataku menjeling ke arahnya yang hanya memandangku tanpa suara. Senyumannya mati serta merta.
“Kalau awak nak saya balik sebab awak nak lupakan saya, saya rasa tak mungkin. Saya akan tetap tunggu dekat sini sebab awak tak buang gambar-gambar tu. Selagi gambar-gambar tu tergantung dekat situ selagi tu lah saya takkan benarkan awak lupakan saya. Lagipun saya datang memang untuk temankan awak dekat sini.” Hujahnya sambil menunding ke arah meja tulisku.
Aku memandang meja tulisku itu. Dinding berhampiran meja itu aku lekatkan sekeping papan nipis sebagai papan kenyataan kini penuh dengan gambar wajahnya. Gambar yang aku ambil dari pelbagai sudut. Aku membatu, dan tidak tahu apa yang harus aku katakan padanya. Lidahku benar-benar kelu. Dia menyentuh pipiku, dan lambat-lambat aku memandangnya.
“Eiza… kalau saya lelaki idaman awak, saya nak awak tahu yang awak gadis yang saya cari.” Beritahunya, perlahan dan lembut. Pastinya ia cukup menyenangkan. Aku terpaku, memandangnya tepat ke wajahnya. Kulitnya yang putih itu kelihatan merah padam. Saling tidak tumpah seperti perempuan. Sekali lagi jantungku berdegup kencang. Dia mencapai tanganku selepas melucutkan cincin di jari manisnya itu. Tanpa berfikir panjang dia menyarung cincin itu ke jariku. Aku hanya memandang tingkahnya hairan. “Untuk awak.” Beritahunya perlahan.
Aku hanya memandang cincin itu dan kemudian memandangnya. Dia kembali tersenyum, senyuman manis yang sebelum ini sesuatu yang tidak mungkin dia lakukan. Senyuman yang bukan untukku kini terukir juga buatku. “Saya nak awak tahu yang awak lebih penting dari cincin ni. Cincin ni akan buktikan yang awak sentiasa dalam hati saya.” Ujarnya lembut.
“Tolong jadi girlfriend saya!” ujarku tanpa berfikir panjang seraya menggenggam jemarinya. Dia tersentak dan memandangku dengan pandangan tidak percaya. “Eh… maksud saya jadi boyfriend saya.” Cepat sahaja aku membetulkan kesilapanku. Walaupun wajahku sudah merah padam, namun aku tetap memberanikan diri memandang wajahnya. Aku langsung tidak kisah tentang apa yang dia fikirkan tentangku.
Dia hanya membisu memandangku lama sebelum dia bangun dan meraih tubuhku ke dalam pelukannya. “Boyfriend atau girlfriend, asalkan awak bersama saya.” Bisiknya. Senyumanku melebar kerana bahagia. Saat itu juga kedengaran suara Naza menegur. Cepat-cepat dia meleraikan pelukannya. Dan kami memandang Naza yang sudah berdiri di muka pintu.
“Apa hal ni?” soalnya.
“He’s my girl now!” balasku sambil tersengih. Ayie pula hanya tersenyum apabila mendengar kata-kataku. Aku mengangkat muka memandangnya. Yes! Aku berjaya. Dia akan tetap jadi ‘girlfriend’ aku… ops! Maksudku ‘boyfriend’ aku sampai bila-bila. Lelaki cantik ini milikku juga akhirnya. Hahaha…!
Monday, 21 December 2009
He's My Girl
Posted by Dark at 12/21/2009 02:51:00 pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment