? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Sunday 25 September 2011

M.U.K

Aku mengeluh, mula berasa bosan. Tanganku sudah mula menongkat dagu, dan mataku dilontarkan ke arah orang ramai yang lalu-lalang di hadapan restoran itu. Aku mencapai jus oren di hadapanku itu lalu menyedutnya perlahan-lahan. Sesekali aku menjeling ke arah teman-temanku yang sedang rancak berbual. Sakit sungguh hatiku tatkala mendengar mereka berempat ketawa bersama. Huh, hampeh punya kawan. Kata girls’ day out, yang dorang bawak boyfriends skali tu buat ape? Gumamku dalam hati. Teringat yang malam tadi, beria-ia benar Anita dan Julia mengajak aku keluar. Alasannya sudah lama kami tidak melepak bersama. Tapi hari ni, lain pula jadinya. Aku mengeluh lagi dan rasa bosanku semakin memuncak. Perlahan-lahan aku bangun dari kerusi itu. Sedikit tersentak Anita yang duduk di sebelahku tatkala melihat aku sudah berdiri. Serta merta empat pasang mata itu tertumpu kepadaku, dengan pandangan hairan.

“Kau nak pergi mana?” soalnya hairan. Dengan lemah aku mengangkat jari telunjuk lalu menunjukkan ke arah sebuah kedai buku yang terletak di seberang jalan itu. Anita menganggukkan kepalanya. Mengerti. Memang sudah diketahuinya temannya yang seorang ini memang suka melepak di kedai buku, walaupun jarang sekali aku membeli buku-buku yang terjual.

“Pergi dulu.” Beritahuku pendek sambil terus melangkah. Langsung tidak menunggu jawapan dari teman-temanku itu.

Aku melangkah dengan lemah tatkala masuk ke dalam kedai itu. Rasa terasing yang dirasai sejak tadi masih menggangguku. Perlahan-lahan aku melangkah menuju ke arah rak-rak novel yang terletak di satu kedai itu. Mataku memerhatikan sahaja novel-novel yang tersusun kemas di atas rak itu dengan perasaan berbaur. Kan best kalau hidup aku pun macam novel-novel ni? Wah, dalam novel kan hero dia handsome la, sweet la. Aku ni entah bila nak jumpa orang macam tu. Haih! Gerutuku dalam hati. Mula berangan. Tanganku mencapai sebuah novel, dan lama juga aku merenung kulit novel itu. Mataku meliar ke kiri dan ke kanan, membaca sinopsis yang tertulis di bahagian belakang buku itu. Aku tersenyum sahaja. Beli yang ni jelah. Baru sahaja aku mahu melangkah menuju ke kaunter, langkahku mati serta merta dan spontan tanganku menyentuh kepala yang sudah berasa sakit.

“Hoi, si gemuk! Buta ke?” herdik satu suara dengan kasar. Cepat sahaja aku mengangkat muka, memandang ke arah seraut wajah yang sudah merah padam serta masam mencuka. Aku hanya tersenyum serba salah dan cepat-cepat meminta maaf dari pemuda itu. Kepala yang tidak gatal digaru berkali-kali.
“Mata tu tengoklah sikit. Jangan orang ada kat sini pun kau nak langgar je dengan badan kau yang macam badak tu? Guna otak tu sikit.” Herdiknya lagi. Aku sedikit tersentak apabila mendengarkan herdikan pemuda itu. Serta merta wajahku merah padam. Haih, suka hati aje panggil aku badak? Sabar jelah! Getusku dalam hati. Dek kerana keselambaanku yang sangat tebal aku hanya tersenyum sahaja dan spontan aku tunduk meminta maaf. Dengan langkah yang kasar pemuda itu terus melangkah, meninggalkanku yang terpinga-pinga.

*

Aku melangkah perlahan. Membontoti sahaja emak tanpa sebarang kata. Kalau ikutkan hati, aku malas sangat nak keluar hujung minggu macam ni. Lepak kat rumah lagi best. Tapi selepas berkali-kali didesak oleh emak, aku akhirnya akur. Terpaksalah, nanti merajuk pula mak nanti. Getusku dalam hati. Kami melangkah masuk ke dalam sebuah pasaraya. Dan seperti tadi, aku hanya mengikut sahaja. Aku memandang sahaja emak yang sedang membelek-belek baju yang tergantung di dalam pasaraya itu. Haih, bukan nak beli pun. Gerutuku dalam hati. Aku berpaling, mula membelek sehelai t-shirt berwarna hitam yang tergantung berhampiranku itu. Lawa juga yang ni. Baru sahaja aku ingin bersuara dan menunjukkan t-shirt itu kepada emak satu suara lantang menyapa kami dari kejauhan. Cepat sahaja kami mengangkat muka, memandang ke arah seraut wajah yang cukup ceria yang sedang melangkah mendapatkan kami.

“Eh, Kak Timah! Lama tak jumpa.” katanya sambil bersalaman dengan emak. Dia melemparkan pandangannya ke arahku sambil tersenyum manis. Aku menganggukkan kepalaku sekali dan cepat-cepat bersalaman dengannya saat wanita itu menghulurkan tangannya kepadaku.
“Anak, ya?” soalnya. Emak hanya menganggukkan kepalanya sambil tertawa. Berkali-kali bahuku ditepuknya.

“Aih, sorang aja?” tanya emak pula. Wanita itu tertawa. Perlahan sahaja dia memberitahu yang dia datang bersama anaknya. Kepalanya dipanjangkan, mencari-cari kelibat anaknya yang hilang entah ke mana. Aku tersenyum sahaja apabila mereka semakin rancak berbual. Haih, pertemuan raka-rakan lama lah pulak!

“Tu pun dia.” Beritahunya sambil mengangkat tangannya, lalu melambai-lambaikan tangannya. Kami berpaling ke belakang. Dan aku serta merta terkedu tatkala melihat seorang pemuda yang sedang melangkah mendapatkan kami. Dan tatkala dia terpandangkan aku, langkahnya mati serta merta. Lama pandangan matanya menikam wajahku sebelum dia kembali melangkah mendapatkan kami dengan wajah kurang senang.
“Ini anak saya, Ilham.” Beritahu wanita itu. Emak menganggukkan kepalanya berkali-kali. Berkali-kali dia memuji pemuda tinggi lampai itu. Aku pula hanya berdiam diri. Tidak menyangka sama sekali yang akan bertemunya sekali lagi.

“Dah tengah hari ni. Jomlah makan tengah hari sama-sama. Kita pun dah lama tak jumpa.” Ajak emak tiba-tiba. Aku terkedu. Terasa tercekik. Air liur yang kutelan terasa pahit sekali. Biar betul mak aku ni. Mula rasa kurang senang, tambahan pula dapat aku rasakan pandangan kurang senang pemuda itu padaku. Habislah! Wanita itu pula cepat sahaja bersetuju. Adoi….!

Aku hanya membisu sepanjang perjalanan kami menuju ke arah medan selera yang terletak di tingkat tiga pasaraya itu. Sesekali sempat aku mengerling ke arah emak dan teman lamanya yang rancak berbual. Entah apa yang mereka bualkan aku kurang pasti. Aku melangkah perlahan-lahan. Rasa kurang senang tambah memuncak tatkala teringatkan pemuda itu yang sedang melangkah perlahan di belakangku. Isk!

“Wei, gemuk jalan cepat sikit tak boleh ke?” soalnya sedikit kasar. Terkejut aku dibuatnya. Cepat-cepat aku berpaling sedikit, memandangnya lalu memberikan ruang agar dia melangkah dahulu. Huh, aku tahulah aku ni berisi sikit. Tak payahlah asyik panggil aku gemuk. Jalan ni pun bukan kecik sangat sampai dia tak muat nak lalu. Gerutuku dalam hati. Mula rasa sakit hati dengan kata-katanya itu. Dengan kasar dia melangkah mendahuluiku, sempat juga dia melanggar bahuku dengan sengaja. Aku mengurut dada. Mengajar diri untuk bersabar.

*

“Dania!” sapa satu suara. Cepat-cepat aku berpaling, memandang ke arah temanku yang sudah berjalan laju mendapatkanku. Tanganku serta merta dipegangnya. Aku hanya tersenyum sahaja saat melangkah menuju ke pintu pagar kolej.
“Kau ni jalan, tak tunggu orang pun.” Gerutunya tidak puas hati. Aku tertawa perlahan. Mendengar sahaja ngomelannya. Sesekali aku tertawa perlahan apabila mendengar rasa tidak puas hatinya pada teman lelakinya. Haih, orang tengah bahagia! Fikirku.

Kami terus melangkah ke luar dari kawasan kolej lalu menuju ke arah deretan kedai yang terdapat di luar kolej itu. Tenang sahaja kami melangkah masuk ke dalam sebuah restoran yang terdapat di situ. Mataku meliar mencari kelibat Anita dan Julia sebelum aku terpandangkan mereka yang duduk di satu sudut restoran itu. Aku terus sahaja menunjukkan ke arah mereka pada Liana yang masih tercari-cari kelibat mereka berdua. Cepat-cepat kami mendapatkan mereka berdua yang sedang menikmati minuman masing-masing. Julia mencebik, kurang senang barangkali dengan kelambatan kami berdua. Aku tersengih sahaja apabila terdengar dia mengomel perlahan tentang itu.

Baru sahaja aku ingin melabuhkan punggung ke atas kerusi itu, kedengaran satu suara menyindir dengan sindiran yang cukup menyirapkan darah. Aku segera berpaling, memandang ke arah Ilham yang sudah berdiri di belakangku sambil tersenyum sinis. Argh…. Kenapa mamat ni boleh muncul kat sini pula? Jeritku dalam hati. Sempat aku memandang ke arah teman-temanku yang sudah memandang kami dengan pandangan hairan.

“Cukup duit kau nanti nak bayar makanan kau yang banyak tu nanti?” soalnya, mengejek. Aku mengertap bibir. Tetap mendiamkan diri. Tidak mahu membalas setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya. Kalau aku layan mamat ni, maknanya aku sama level dengan dia. Bersabarlah wahai hati. Aku memujuku diri sendiri supaya bersabar. Aku terus berpaling lalu menghenyakkan punggung ke atas kerusi itu dengan kasar.
“Hati-hati, patah nanti kerusi tu.” Bisiknya perlahan. Jelas suaranya mengetuk gegendang telingaku. Serta merta wajahku berubah merah padam. Tak guna! Aku hanya mampu memekakkan telinga saat terdengar suaranya ketawa senang. Cissss….!!!!

“Siapa?” soalan Anita itu dibiarkan tergantung. Sakit hatiku semakin membengkak. Jari-jemari sudah digenggam erat. Argh…..! Aku benci mamat tu!

*

Peluh mula memercik di dahi. Dengan kasar aku menyeka peluh yang sudah membasahi dahiku. Larianku semakin perlahan. Rasa penat dan lelah semakin menghimpit dada. Tak boleh mengalah sekarang, kena buktikan pada mamat sombong tu yang aku takdelah selemah yang dia fikirkan. Gerutuku dalam hati. Serta merta ingatan beberapa hari lalu bermain di benakku. Rasa sakit hati semakin membengkak. Dia ingat aku diam sebab aku mengalah? Fikirku. Sindiran dan panggilannya terhadapku semakin menyakitkan hati. Aku melajukan larianku.

“Haih, muk, muk! Kau ni boleh tahan juga ek? Kawan-kawan kau semua lawa-lawa. Kau je….” Kata-katanya mati di situ, sambil matanya memandangku dari atas ke bawah. Aku mengertap bibir. Bengang. Sudahlah dengan selambanya dia memanggil MUK di hadapan ibu kami. Tebal rasanya mukaku ini.
“Muk, cuba kau diet sikit. Ini badan dah macam badak aku tengok.” Ejeknya lagi. Terkesima aku tatkala mendengarkan kata-katanya itu. Ibunya pula sudah entah berapa kali menepuk bahunya, wajahnya jelas menunjukkan rasa kurang senangnya terhadap kata-kata Ilham itu. Aku hanya membisu seperti biasa.

Pertemuan pada hujung minggu itulah yang telah membuatkan aku berusaha sekarang ini. Sudah berapa hari aku berpuasa. Makan juga semakin sedikit. Kadang kala aku langsung tidak menyentuh apa-apa melainkan air kosong. Dan setiap petang aku akan berjogging di taman berhampiran rumah. Ataupun berbasikal. Hampir setiap hari aku menimbang berat badan ku sendiri yang semakin susut. Berjaya juga tu. MUK! Sekali lagi panggilan itu menyentakkan aku dari larianku. Setiap kali bertemuku dia pasti akan memanggilku dengan panggilan itu. MUK? Gemuk? Aku mengertap bibir.

Masihku ingat, setiap kali aku berdoa agar tidak bertembung dengan Ilham, tiba-tiba sahaja dia akan muncul. Tak kira di mana aku berada. Bengkak sungguh rasanya hatiku ini tiap kali teringatkan senyuman sinis yang terukir di bibirnya. MUK! Argh…. Again? Aku sendiri kurang pasti kenapa perkataan MUK itu sering kali mengetuk gegendang telingaku. Huh, orang kalau handsome pun perangai macam hantu tak guna juga! Getusku dalam hati.

Matahari semakin tegak di atas kepala. Rasa panas matahari semakin menyengat tubuhku yang semakin lesu. Entah mengapa pandangan mataku mula berpinar. Mungkin sebab panas sangat. Fikirku sambil memperlahankan larian. Pandangan mata semakin gelap dan saat tubuhku terasa longlai tidak berdaya untuk berdiri lagi, dapat aku rasakan tangan seseorang menyambutku dari jatuh menyembah jalan.

*

Dapat aku dengar namaku dipanggil perlahan. Dengan susah payah aku cuba membuka mata dan aku terpandangkan emak dan ayah yang duduk di atas kerusi di sisi katil. Aku meletakkan tangan ke atas kepala, cuba mengenal pasti di manakah aku berada sekarang ini sebelum bangun dan bersandar pada kepala katil. Aku memandang tanganku yang sudah dimasukkan jarum, dan kemudian memandang emak yang sudah tersenyum lega.

“Apa yang dah jadi?” soalku selamba. Terpinga-pinga apabila menyedari yang aku berada di hospital. Ayah menggelengkan kepalanya berkali-kali.

“Kamu kekurangan zat makanan. Itulah, kalau nak diet sekalipun berpada-padalah sikit. Jaga kesihatan kamu tu.” Bebelnya. Aku hanya tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Aku sendiri tidak sangka yang aku akan pitam gara-gara berdiet. Ingatkan badan aku ni boleh tahan tekanan, rupanya tak boleh, heh? Ayah menggelengkan kepalanya lagi saat melihatkan reaksi ku itu.
“Nasib baik ada orang bawak kamu datang hospital ni, kalau tidak…. Tak tahulah.” Sambungnya lagi.

“Siapa?” soalku, tertanya-tanya. Siapakah hero ku itu? Berilah tahu supaya boleh aku ucapkan terima kasih padanya. Cewah! Berjiwang pula. Takdelah, serius…. Siapa? Aku tertanya-tanya.

“Ilham.” Jawapan pendek emak itu membuatkan aku terkedu seketika. Tu bukan hero, tapi penjahat. Penyangak. Ngomelku. Namun hanya dalam hati. Tapi macam mana dia boleh ada kat situ pula? Bukan rumah dia jauh dari taman tu ke? Aku tertanya-tanya.
“Dah lah. Kamu rehatlah dulu. Mak dengan ayah nak balik kejap. Petang nanti kami datang lagi.” Beritahu emak, tenang. Aku hanya menganggukkan kepalaku sekali lalu menghantar langkah kaki mereka dengan pelbagai rasa. Otakku masih teringatkan kata-kata emak sebentar tadi. Ilham yang hantar kamu ke hospital. Kenapa dia? Aku mengertap bibir. Tiba-tiba sahaja wajah Ilham terbayang di ruang mata sambil tersenyum sinis. Ergh….. tension!

Tiba-tiba aku terpandangkan sesuatu di atas meja di sisi katil. Kad? Aku tertanya-tanya. Siapa punya ni? Aku kehairanan sambil kepalaku menoleh-noleh, kiri dan kanan. Pasti tiada sesiapapun dalam bilik itu melainkan aku seorang. Beberapa buah katil masih kosong tidak berpenghuni. Dengan rasa serba salah aku mencapai kad itu. Lalu mengeluarkannya dari sampul berwarna putih itu. Tertera di situ gambar beruang yang cukup comel dan tertulis perkataan ‘Get Well Soon’ di situ. Aku tersenyum. Barangkali Anita yang datang melawat, atau mungkin juga Julia, atau Liana. Serta merta aku teringatkan teman-temanku itu. Dan senyumanku itu mati serta merta tatkala terbaca sepatah perkataan yang tertulis di dalam kad itu. MUK! Eh?

Spontan kad itu aku lempar ke hujung kaki. Darah menyirap ke muka. Aku mengertap bibir menahan rasa sambil kembali membaringkan tubuh ke atas katil itu. Selimut ditarik hingga menutupi muka. Dadaku turun naik, menahan marah. Entah bila aku tertidur aku sendiri tidak pasti, namun aku terjaga tatkala terdengar suara orang sedang berbual. Aku membuka mata, dan cepat-cepat bangun dari pembaringanku tatkala terpandangkan emak dan ibu Ilham yang sedang berbual.

“Dania…. Macam mana? Dah okey?” soal wanita itu, mesra. Aku menganggukkan kepala sambil tersenyum hambar. Tiba-tiba mataku terpandangkan Ilham yang berdiri berhampiran pintu sambil bersandar pada dinding. Tajam matanya menikam wajahku, dan aku hanya buat tidak tahu sahaja. kembali mengadap kedua-dua orang wanita itu yang sedang berbual.
“Rehatlah, ya? Mak cik balik dulu.” Beritahunya sambil bersalaman dengan ku. Aku hanya menyambutnya dan mencium tangannya. Memang sudah diajar oleh emak supaya berbuat demikian ketika bersalaman dengan orang yang lebih tua. Wanita itu tersenyum sahaja.

Emak bersalaman dengannya. Berkali-kali dia mengucapkan terima kasih pada wanita itu. Sempat juga aku menjeling ke arah Ilham yang sudah melangkah keluar dari bilik itu dengan wajah sedikit kusam. Ah? Ada aku kisah kenapa dia buat muka macam tu?

“Kamu nak minum? Biar mak pergi ambilkan air.” Tegur emak perlahan sambil menepuk bahuku mesra. Aku tersentak sedikit namun cepat sahaja aku menganggukkan kepala sambil tersenyum nipis. Aku melihat sahaja emak melangkah keluar dari bilik itu sambil membawa jug bersamanya. Mataku tiba-tiba terpandangkan kad tadi yang kini tersadai lesu di atas meja di hujung kaki. Aku menarik nafas panjang-panjang dan menghembusnya lambat-lambat. Perlahan-lahan aku mencapai kad itu lalu membukanya. Mataku mula meliar membaca setiap patah perkataan yang tertulis kemas dan cantik di dalamnya.


MUK,

Saya tahu awak sakit hati bila saya panggil awak dengan panggilan ni. Tapi saya nak sangat bagitahu awak yang saya sebenarnya sukakan awak. Saya harap awak maafkan saya sebab panggil awak ‘gemuk’ sebelum ni. Hakikatnya, saya sukakan awak. Dari pertama kali kita jumpa. Tak pernah lagi saya jumpa orang yang tetap tenang walaupun dipanggil dengan nama yang menyakitkan hati kecuali awak. Awaklah orang pertama yang berjaya buat saya rasa kagum. Saya harap awak akan cepat sembuh, ya Miss Universe Ku? Ilham.

Aku terpana seketika. Miss Universe Ku? Tiba-tiba perasaanku jadi sebak. Kenapa aku rasa macam nak nangis ni? Belum sempat aku tahan, air mataku tumpah tidak semena-mena. Rasa benar-benar terharu dengan kata-kata itu. Wah….Kau jahat Ilham! Jeritku dalam hati sambil tanganku terus menggenggam kad itu erat.