? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS ?

Friday, 10 July 2009

Pengorbanan...

“Wah, akhirnya Berjaya juga kita datang sini!” jerit Sofea kegembiraan. Ala… bukan senang hendak bercuti seperti ini. Apatah lagi sejak dia dan teman-temannya sudah mula bekerja. Peluang untuk meluangkan masa bersama semakin terbatas. Tambahan pula sejak mereka sibuk dengan tugasan masing-masing yang tidak kira waktu. Dia berpaling memandang teman-temannya yang hanya tersenyum simpul. Tahu benar dengan sikap Sofea yang sentiasa ceria itu.

“Jom, kita check-in dulu.” Ajak Qila. Dia sudah melangkah mendahului teman-temannya. Sofea pula cepat-cepat mengikut langkah kaki teman baiknya itu. Tiba-tiba mata Sofea terpandangkan seseorang. Lama dia memerhatikan seraut wajah yang sedang asyik memandang ke arah pantai yang tenang itu. Dan entah mengapa hatinya sedikit tertarik kepada pemuda itu.

Pemuda itu memandang pantai dengan pandangan yang kosong. Seolah-olah fikirannya menerawang jauh. Sofea hanya memerhatikan dari jauh. Gelagat pemuda itu benar-benar menarik perhatiannya. “Hei, kau tunggu apa lagi tu?” teguran itu membuatkan Sofea tersentak. Dia berpaling, memandang teman-temannya yang sudah melangkah meninggalkannya. Cepat-cepat dia berlari-lari anak mendapatkan mereka. Namun, fikirannya masih lagi teringatkan pemuda itu.

Jam menunjukkan tepat jam 9.00 malam. Sofea terkocoh-kocoh keluar dari biliknya. Cepat-cepat dia menyarungkan kasutnya. Mulutnya membebel tentang itu dan ini. Dan pastinya dia sedikit kecil hati apabila teman-temannya tidak menunggunya sementara dia bersiap-siap. Dia terus melangkah turun dari tangga. Cepat-cepat dan langkahnya yang sedikit kalut itu membuatkan dia hampir tersandung, dan nasibnya baik kerana seseorang telah menyambutnya. Dia mengangkat muka, memandang seraut wajah yang memandangnya dengan pandangan yang kosong. Tiada sebarang reaksi di wajahnya. Sofea tersentak. Mamat tadi! Getus hatinya. Lama dia memandang pemuda itu, dan barulah dia tersedar yang dia masih lagi dalam pangkuan pemuda yang tidak dikenalinya itu. “Oh, maaf!” beritahunya. Terus berdiri sendiri.

Pemuda itu terus berlalu tanpa bicara. Sofea hanya memandang langkah pemuda itu yang semakin menghilang. Dan barulah dia teringat yang dia tidak mengucapkan terima kasih sebentar tadi. Dia menghela nafas panjang, kesal.

* * * *

“Sofea… cepatlah!” gesa Qila yang sudah jauh berjalan, meninggalkan Sofea yang masih lagi asyik melayan perasaan. Dia mengangkat muka memandang Qila yang sudah bercekak pinggang memandangnya. Cepat-cepat dia mendapatkan temannya itu. “Kau berangan apa kat sana?” soal Qila, selamba. Sofea hanya menggelengkan kepalanya. Dia tersengih, dan Qila pula hanya mencebik.

“Hei, awak Qila, kan?” sapa satu suara. Keduanya mengangkat muka memandang dua orang pemuda yang memandang mereka. Salah seorang darinya tersenyum lebar dan seorang lagi hanya berpeluk tubuh dan melontar pandangan jauh ke pantai. Tidak memandang mereka. Namun, mata Sofea tetap pada pemuda yang berpeluk tubuh itu. Pemuda yang tidak diketahui namanya. Qila menganggukkan kepalanya. Lama dia merenung pemuda di hadapannya itu sebelum dia terjerit kecil.

“Ya Tuhan, awak Fendi, kan?” soalnya. Pemuda itu menganggukkan kepalanya. Dia tersenyum lebar. “Awak buat apa kat sini?” soalnya. Pemuda itu hanya tergelak. Dia sendiri tidak menyangka yang dia akan bertemu dengan teman lamanya di situ.

“Bercutilah! Oh ya, ini kawan saya Hafiz!” beritahunya sambil memperkenalkan temannya yang berdiri di sebelahnya. Pemuda yang bernama Hafiz itu berpaling sambil melontarkan senyuman kelat. Dia menghulurkan tangannya dan bersalaman dengan Qila dan Sofea. Perlahan sahaja suaranya semasa dia memperkenalkan dirinya kepada mereka berdua.

“Ini Sofea.” Giliran Qila pula yang memperkenalkan temannya itu. Sofea pula hanya tersenyum. Yes! Akhirnya tahu juga aku nama mamat ni! Jerit Sofea dalam hati gembira. Dia tetap memandang pemuda itu yang asyik berbual dengan Qila dan Fendi. Namun, bibirnya tetap tidak lekang dari mengukir senyum terpaksa. Mengapa begitu? Sofea tertanya-tanya.

* * * *

Sofea memandang telefon bimbitnya lama. Dia menghela nafas panjang. Masih menunggu balasan daripada Hafiz. Tidak sia-sia usahanya akhirnya Berjaya juga dia mendapatkan nombor telefon pemuda itu, walaupun pada awalnya Hafiz keberatan untuk memberikan nombor telefonnya kepada Sofea.

“Kenapa awak perlu suka saya?” soalan itu masih terngiang-ngiang di telinga Sofea. Salahkah dia jika dia menyukai seseorang. Selama ini perasaannya terhadap lelaki seolah-olah mati. Dan entah mengapa sejak bertemu dengan Hafiz perasaannya sedikit terusik dengan sikap pemuda itu. Sikap pendiam dan misteri itu membuatkan Sofea ingin mengenalinya dengan lebih rapat lagi. Dan kerana itulah dia dengan tenangnya memberitahu perasaannya terhadap Hafiz, namun Sofea benar-benar tidak menyangka yang Hafiz akan bertanya soalan itu membuatkan dia terkaku tanpa jawapan. “Lupakan saja saya. Awak akan jumpa orang yang lebih baik.” Sambung Hafiz lagi. Sofea menghela nafas panjang. Adakah aku tidak layak untuknya? Dia mula tertanya-tanya.

Dia melontarkan pandangan ke luar tingkap biliknya. Masih tertanya-tanya tentang Hafiz yang benar-benar misteri baginya. Masih dia ingat pandangan kosong Hafiz waktu pertama kali mereka bertemu. Apakah yang bermain di fikirannya? Sofea tertanya-tanya.

* * * *

Sofea tersenyum bahagia. Akhirnya Hafiz sudi keluar bersamanya. Dia mengerling ke arah pemuda itu. Dan seperti biasa Hafiz hanya mengukir senyuman terpaksa. Dia memandang Sofea kosong. “Nak ke mana?” soalnya.

“Tengok wayang nak?” soal Sofea pula. Hafiz hanya menganggukkan kepalanya. Dengan selamba Sofea menarik tangan Hafiz dan menggenggamnya erat. Tersentak Hafiz dengan sikap Sofea yang berubah tiba-tiba itu. Namun dia hanya membiarkan. Tidak menolak.

Hari itu merupakan hari yang paling gembira buat Sofea. Terasa seolah-olah Hafiz sudi menerimanya. Walaupun pada hakikatnya pemuda itu tidak pernah meluahkan perasaannya terhadapnya. Namun, Sofea tidak kisah tentang itu. Apa yang pasti Hafiz akan bersamanya. Dan dia akan lakukan apa sahaja untuk itu. Dan entah bila dia menjadi semakin mementingkan diri sendiri. Tidak lagi fikirkan apa yang Hafiz rasakan tentangnya. Yang penting dia dapat bersama pemuda itu.

Sofea tersentak apabila terdengar bunyi telefon bimbit. Dia berpaling memandang Hafiz yang sudah menekan butang hijau dan mendekatkan telefon itu ke telinganya. Dia hanya memandang Hafiz yang sudah melangkah jauh meninggalkannya. Berbual dengan si pemanggil. Entah mengapa hati Sofea kuat mengatakan yang pemanggil itu adalah perempuan. Suara hatinya mula berbisik cemburu. Dia menarik muka masam saat Hafiz mendekatinya.

“Maaf!” beritahunya pendek. Tanpa perasaan. Sofea terus melangkah meninggalkan pemuda itu yang terkulat-kulat tidak mengerti. Namun, Hafiz hanya memandang. Tidak mengejar Sofea yang sudah melangkah meninggalkannya.

* * * *

“Apa? Awak tak boleh jumpa saya? Tapi kenapa?” Sofea berang dengan jawapan Hafiz apabila dia mengajak pemuda itu keluar bersama. Kedengaran Hafiz mengeluh. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk berterus-terang supaya Sofea mengerti dengan situasi yang dialaminya sekarang ini. “Give me one good reason.” Sambung Sofea lagi. Dia benar-benar berang apabila pemuda itu sering kali menolak untuk keluar bersama. Apa salahnya sedangkan mereka sudah rasmi bergelar pasangan. Sofea menghela nafas panjang apabila Hafiz diam membisu tanpa jawapan.

“Okay, fine! Suit yourself!” beritahu Sofea. Tegang. Dia terus mematikan panggilan. Membiarkan Hafiz terkulat-kulat ingin memberikan sebabnya. Lama dia memandang telefon bimbitnya, sebelum dia meletakkannya dengan lemah sekali. Dan saat itu juga pintu biliknya diketuk dari luar. Dengan malas dia bersuara menyuruh orang yang mengetuk pintu biliknya itu masuk.

Pintu terkuak dari luar dan wajah Qila muncul di balik pintu. Tenang sahaja wajahnya. Dia melangkah masuk dan menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di hadapan Sofea yang masih lagi kelihatan tegang. Dia menarik nafas panjang-panjang. “Kau dah tahu tentang Hafiz?” soalnya tenang. Sofea mengangkat muka. Wajahnya penuh dengan tanda tanya dan ketegangan. Qila pula tiba-tiba terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan Sofea itu. Kata-katanya mati di situ. Tajam sekali Sofea memandang temannya itu.

“Kenapa dengan dia?” soal Sofea. Sedikit tertanya-tanya. Qila menggelengkan kepalanya. “Lupakan ajalah.” Beritahunya sambil tersengih. Tidak mahu berterus terang. Dia terus bangun dan ingin melangkah pergi. Cepat-cepat Sofea menarik tangannya. Qila terhenyak duduk kembali di kerusinya. Tajam mata Sofea memandang Qila yang sudah serba salah. “Bagitahu aku kenapa dengan dia.” Gesa Sofea.

“Sebenarnya… Hafiz dah bertunang.” Lambat-lambat dia memberitahu tentang itu. Terbuntang mata Sofea mendengar kata-kata Qila itu. Serta merta dia terasa lemah. Dan matanya mula berkaca. Dia tertunduk. Memandang kakinya sendiri. Terasa hatinya hancur berkecai.

* * * *

Keduanya hanya membisu. Tidak bersuara. Saling berpandangan. Dapat dirasakan ketegangan antara mereka berdua. Sofea menghela nafas panjang. Dia mengalihkan pandangannya ke arah tasik yang tidak jauh dari mereka. “Saya tak tahu apa hubungan awak dengan dia. Tapi tolonglah tinggalkan dia.” Kata-kata itu benar-benar menusuk hatinya. Sofea menggenggam jemarinya erat. Dia kembali memandang gadis di hadapannya. Wajahnya pucat jelas menunjukkan yang dia sedang kesakitan. “I really love him.” Sambung gadis itu lagi. Benar-benar berharap agar Sofea mengerti dengan situasinya.

Sofea hanya membisu. Dia masih memandang gadis yang memandangnya penuh harapan. Dia menghela nafas panjang. Terasa bersimpati. Namun dia benar-benar sudah cintakan Hafiz. Walaupun pemuda itu pasti tidak akan membalas dengan perasaan yang sama. “Tak mungkin!” tenang sahaja Sofea berkata. Dia terus bangun. Gadis itu memandangnya tidak percaya. Tidak menyangka sama sekali yang Sofea akan berkata begitu.

“Tapi….” Baru sahaja gadis itu ingin menghabiskan kata-katanya. Sofea terlebih dahulu menyampuk. “Apa yang awak boleh bagi pada dia? Kerisauan?” soalnya selamba. Gadis itu tergamam. Dia membisu apabila terdengar pertanyaan itu daripada Sofea. Matanya hanya menyorot langkah Sofea yang semakin menjauh. Benar-benar tidak menyangka yang Sofea seorang yang mementingkan diri sendiri.

* * * *

Sofea hanya tersenyum sahaja sepanjang perjalanan itu. Sesekali matanya menjeling ke arah Hafiz yang hanya membisu memandu. Langsung tidak berpaling memandangnya. Dan tiada segaris senyuman pun yang terukir di bibirnya. Dan Sofea langsung tidak kisah tentang itu. “I’m so happy today.” Beritahunya. Hafiz hanya membisu tidak bersuara. Sofea menyandarkan badannya ke kerusi. Memandang ke luar.

Tiba-tiba telefon bimbit Hafiz berdering pinta diangkat. Kalut Hafiz mencapai telefonnya. Dan belum sempat dia menekan butang angkat, Sofea terlebih dahulu merampasnya dan menekan butang hijau itu. “Jangan kacau dia lagi.” Beritahunya kasar. Wajahnya berubah benar. Hafiz tersentak dan dia berang mendengar kata-kata Sofea itu. Dengan kasar dia merampas kembali telefonnya. Tajam dia memandang Sofea. Sofea pula menelan liur sebiji-sebiji. Terasa kerongkongnya tersekat. Pandangan mata Hafiz itu membuatkan dia tergamam.

“Jangan berani buat macam tu lagi.” Tegas sekali Hafiz berkata. Sofea mencebik. Sedikit sakit hati dengan kata-kata Hafiz itu. “Kalau saya buat lagi?” sengaja dia bertanya begitu. Wajah Hafiz semakin merah padam menahan marah. Tajam dia merenung wajah Sofea yang jelas tidak menunjukkan yang dia takut dengan pandangan Hafiz itu. “Tolong jangan muncul depan saya lagi.” Selamba sahaja Hafiz memberitahu. Tangannya sudah menekan-nekan nombor pada kekuncinya.

“Hello, Anne! Kejap lagi saya datang.” Kata Hafiz perlahan. Suaranya tidak setegang tadi. Sofea hanya memandang Hafiz yang sudah mematikan panggilannya. Dia tahu benar siapakah Anne itu. Tunang Hafiz! Sofea menghela nafas panjang. Hafiz tidak mempedulikannya. Terus memandu ke arah sebuah hospital. Kebisuan beraja antara mereka.

“Awak betul-betul sayangkan dia?” soal Sofea perlahan. Hafiz tersentak. Dia berpaling memandang ke arah Sofea yang sudah tunduk. Sofea menggenggam jemarinya erat. Langsung tidak berpaling memandang Hafiz yang sudah kembali memandang ke hadapan. Langsung tidak menjawab pertanyaan Sofea itu. “Kenapa?” soalnya lagi. Hafiz tetap diam membisu. “Apa kurangnya saya?” Sofea semakin tidak puas hati. Pertanyaannya tidak dibalas. Hanya kebisuan.

“Bukan itu masalahnya. Awak tiada kekurangan pun. Cuma saya kenal dia sebelum awak.” Jawapan itu benar-benar menusuk hati Sofea. Semuanya kerana masa. “Saya sayangkan dia. Saya tak tipu tentang itu. Dan saya langsung tak terniat untuk memberikan harapan pada awak. Cuma saya tak tahu macam mana untuk berterus terang pada awak.” Terang Hafiz panjang lebar.

Sofea hanya membisu. Dia teringatkan kata-kata Qila sebelum ini. yang tunang Hafiz sedang terlantar di hospital kerana kanser hati. Masih lagi mencari-cari penderma yang sesuai. Dan kerana itulah perkahwinan mereka ditangguh hingga kini. Perlahan-lahan Sofea mencapai tangan Hafiz. “Berhenti dekat sini.” Beritahunya. Hafiz tercengang dengan permintaan Sofea itu. Dia berpaling memandang Sofea yang tersenyum memandangnya.

* * * *

“Encik Hafiz!” sapa doktor muda itu. Hafiz terus berdiri mendapatkan doktor itu. Tenang sahaja wajah doktor itu. Dia memandang Hafiz sambil tersenyum. “Semuanya selamat.” Beritahunya. Hafiz memanjat rasa syukur. Setahun menanti, akhirnya muncul seorang penderma yang sesuai untuk pembedahan itu.

“Bila saya boleh lawat tunang saya?” soalnya kurang sabar. Senyumannya melebar. “Selepas dia kembali stabil.” Balas doktor itu tenang dan ringkas. Hafiz hanya menganggukkan kepalanya. Dia hanya memandang doktor itu mula mengatur langkah. Namun, cepat-cepat Hafiz memanggilnya. “Boleh saya tahu siapa penderma tu?” soalnya. Doktor itu hanya menggelengkan kepalanya.

“Maafkan saya. Itu adalah rahsia.” Balasnya pendek. Hafiz menghela nafas panjang. Terasa bersalah. Sekurang-kurangnya dia dapat mengucapkan terima kasih kepada si penderma. Sanggup menyelamatkan nyawa tunangnya walaupun tidak mengenalinya.

* * * *

Sofea hanya memandang dari jauh. Dia tersenyum bahagia apabila melihat Hafiz yang sedang asyik berbicara dengan Anne. Dia menghela nafas panjang. Senyuman yang terukir di bibir Hafiz membuatkan dia berasa sedikit cemburu. Senyuman yang ingin benar dia lihat. Harapannya tercapai walaupun bukan dia yang berada di samping pemuda itu.

Namun, sekurang-kurangnya senyuman itu terukir kerana pengorbanannya. Sofea menarik nafas dalam-dalam. Cinta tak semestinya memiliki. Dia tunduk dan berpaling. Terus melangkah pergi. Dan dia berjanji pada dirinya yang dia takkan muncul lagi di hadapan Hafiz dan Anne. Biarlah bagi mereka dia sudah ‘mati’.

0 comments: