Nama aku Arianna, tapi kebanyakannya memanggilku Ari. Umur 21 tahun, masih single dan masih mencari cinta. Cewah! Persoalannya kenapa hingga sekarang aku masih belum berpunya. Bukannya kerana aku tidak mahu bercinta, tetapi hingga kini tiada siapa pun yang berjaya menambat hati aku. Bagi aku lelaki adalah sama. Perangai buruk dan busuk! Hahaha….! Jadi tiada siapa yang cukup sempurna untuk jadi teman lelaki aku.
Dan hari ini aku tersepit lagi apabila rakan-rakan aku sibuk bercerita tentang teman lelaki masing-masing. Dan apa yang hebat sangat ada teman lelaki kalau hanya menyakitkan hati? Aku tertanya-tanya. Aku hanya menongkat dagu memandang mereka. Tidak mengerti. Dan mereka turut memandangku geram apabila mulutku dengan gatalnya berkata, “Eleh, nanti dia akan tinggalkan kau juga!” Yeah! Itulah antara masalah aku. Aku terlalu berterus-terang dan terlebih selamba.
Farhana hanya tertawa apabila aku ceritakan tentang itu padanya. Apabila aku memberitahunya yang aku disuruh pergi oleh teman-temanku kerana berkata seperti itu. Dia menepuk-nepuk bahuku. Cuba menenangkan aku. Dan aku pula hanya menghela nafas panjang. Dan kerana itu aku bertekad, aku akan mencari seorang teman lelaki untuk merasai apa itu cinta. YES! Pencarian cinta bermula!
* * * *
Aku melangkah lambat-lambat. Kepenatan. Teringat pelbagai tugasan yang diberikan kepada kami sebelum pulang dari kelas tadi. Emph! Kalau sudah bergelar pelajar. Sudah tentu tidak dapat lari dari tugasan. Aku menghela nafas panjang. Aku berdiri di hadapan lif. Kerana malas menggunakan tangga, aku lebih suka menggunakan lif untuk ke tingkat atas rumah sewaku. Almaklumlah, nama pun tinggal di apartmen. Lama aku berdiri di situ sebelum aku menekan butang ke atas. Dan sebaik sahaja pintu lif terbuka, aku tersentak. Lama aku memandang ke dalam lif itu. Seorang pemuda dan seorang gadis cantik sedang……? Tolong jangan fikir yang bukan-bukan, okey?
Asyik benar pemuda itu membelai rambut teman wanitanya. Dan dia membisikkan sesuatu ke telinga teman wanitanya itu hingga gadis itu tertawa. Aku berdehem beberapa kali. Cuba menarik perhatian mereka. Dan aku berjaya! Keduanya memandangku. Si gadis dengan wajah serba salah namun dipaksanya bibir mengukir senyum dan si lelaki itu pula berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Aku hanya mengukir senyuman sinis.
“Kalau nak bercinta sangat pergilah tempat lain. Biar tersorok sikit. Janganlah kat sini pun nak bercinta juga.” Selamba sahaja aku berkata. Berubah benar wajah pemuda itu dan aku hanya berpura-pura tidak sedar tentang itu. Pantas dia menarik tangan teman wanitanya dan berlalu. Keluar dari lif itu. Aku hanya tersengih.
* * * *
Aku menongkat dagu. Memandang teman-temanku yang asyik bercerita. Entah apa yang mereka bualkan aku sendiri tidak tahu. Kerana fikiranku melayang jauh. Dan entah kenapa aku teringatkan pemuda semalam. Jangan tanya aku kenapa, kerana aku sendiri pun tidak tahu. Aku menghela nafas. Terasa bosan.
“Hei, awak budak semalam tu, kan?” sapa satu suara. Aku mengangkat muka. Memandang seraut wajah yang tersenyum memandangku. Mamat semalam! Getus hatiku. Aku hanya memandangnya tidak memberi sebarang reaksi. Hakikatnya aku tidak tahu reaksi bagaimana harus aku berikan. Teman-temanku yang asyik berbual itu turut memandang ke arahnya. Perbualan mereka mati serta merta. Pemuda berambut hitam dan berkulit putih itu memandangku sambil tersenyum manis. “Ingat tak? Semalam dekat lif.” Dia mengingatkan aku. Aku menganggukkan kepala. Sememangnya aku tidak lupa.
“So?” soalku selamba. Aku memandangnya. “Apa halnya?” soalku lagi. Kurang berminat. Seperti yang aku katakan di awal-awal cerita, lelaki adalah sama. Pemuda itu mengeluh dan terus melabuhkan punggung di sebelahku. Aku kaget. Berani betul mamat ni. Fikirku. Teman-temanku pula berbisik sesama mereka. Entah apa yang dibisikkan aku sendiri tidak tahu dan malas untuk ambil tahu.
“Saya suka cara awak. Jadi tentu awak tak kisahkan?” soalnya. Wow, berterus-terang sungguh mamat ni! Hebat! Belum pernah seorang pun berani menghampiriku. Berterus-terang tentang perasaannya. Dan mengapa pula aku terasa seperti terharu? Adoi!
* * * *
“Ari! Awak lambat lagi.” Tegur Qalif. Wajahnya mencuka. Aku hanya tersengih. Sedar tentang kelewatanku. Aku mendekatinya yang duduk menongkat dagu. Selamba sahaja aku melabuhkan punggung di hadapannya.
“Sorry!” beritahuku. Aku memandangnya sambil tersenyum dan dia pula mengalihkan pandangannya. Aiya, merajuk pulak! “Okey, okey! Lain kali saya datang awal. Boleh?” pujukku. Dia hanya memandangku sekilas.
“Okey! Tapi lain kali awak lambat saya akan keluar dengan perempuan lain.” Selamba sahaja dia memberitahuku. Aku hanya memandangnya kosong. Tidak memberi sebarang komen tentang ugutannya itu. Kerana bagiku, selagi dia tidak bergelar suamiku dia bebas untuk keluar dengan sesiapa sahaja.
Ops! Siapa Qalif? Terlupa pula. Qalif adalah pemuda yang aku bertembung di lif bersama seorang perempuan. Ingat? Dia sememangnya terkenal kerana sikap playboynya. Dan semua perempuan yang lalu di hadapannya akan menjadi mangsa. Selama seminggu kami keluar bersama tak bermakna seminggu juga dia hanya bersamaku. Dia pernah keluar dengan gadis-gadis lain selainku dan aku hanya membiarkan kerana aku tidak memberikan sepenuh hatiku padanya. Sorry! Not that stupid, okay?
Aku membetulkan rambutku yang berjuntai di dahi. Terasa sedikit rimas walaupun rambutku pendek sahaja. Tiba-tiba dia mencapai tangan kananku dan memandangku sedikit marah. Aku kehairanan. “Kenapa?” pendek sahaja aku bertanya.
“Kenapa dengan jari awak ni?” soalnya sambil menunjukkan ke arah jari telunjukku yang berbalut dengan pembalut luka. Aku hanya tersengih dan menggaru kepala yang tidak gatal. Teringat yang sebentar tadi aku terluka terkena pisau. “Lain kali hati-hatilah sikit.” Beritahunya sambil mengusap jari telunjukku itu. Aku sedikit tercengang namun aku hanya berpura-pura selamba.
Satu masalah tentang Qalif. Setiap gadis yang bersamanya walaupun sebentar, tetapi dilayan seperti puteri. Dan tidak hairanlah walaupun sudah berpisah mereka masih datang mencarinya. Aku hanya tersenyum. “Apa?” soalnya. Hairan barangkali apabila aku tersenyum tiba-tiba. Cepat-cepat aku menggelengkan kepala. Dan dia kembali tunduk mengusap-ngusap jemariku tanpa banyak bicara.
* * * *
Aku mendaki tangga untuk ke pejabat pensyarah. Terasa berat sekali langkahku. Maklumlah, aku seorang pemalas tegar. Dan baru beberapa tapak aku melangkah, terdengar suara orang ketawa. Senang hati. Aku hanya membiarkan. Tiada kaitan dengan aku. Itulah yang aku ingatkan pada diri sendiri.
“Minah tu? Tolonglah! Bukan taste aku pun.” Kedengaran satu suara berkata. Aku cam benar suara itu. Qalif! Nama itu meniti bibirku. Dan perlahan-lahan aku mendekati tempat dia dan teman-temannya berbual. Dia duduk di tangga sambil memandang teman-temannya yang sudah terbahak-bahak ketawa. Entah apa yang mereka ketawakan, aku sendiri tidak tahu. Masih tetap berdiri di situ ingin terus mendengar. “Dia tu berlagak aja lebih. Ingat ada perempuan akan terlepas dari aku ke?” soal Qalif lagi. Rakan-rakannya mengiyakan sambil ketawa. “Well, Arianna tu macam perempuan lain! Bila aku dah bosan. Bye, bye!” beritahunya. Sekali lagi rakan-rakannya ketawa.
Aku mengertap bibir. Menahan rasa. Nasib baik aku tak beri sepenuh hati aku pada dia. Kalau tak tentu aku kecewa benar saat ini. Baik! Ini dah mencabar kesabaran aku. Sebelum dia tinggalkan aku, baik aku tinggalkan dia dulu. Itulah yang bermain di fikiranku. Aku berpaling dan otakku mula ligat berfikir tentang strategi untuk mengenakan kembali Qalif. Nak mainkan perasaan aku? Tolong sikit!
* * * *
Hari ini aku tiba awal untuk bertemu Qalif. Antara salah satu rancangan aku. Dengan penuh kesabaran aku menunggu kehadiran Qalif. Dan seperti yang dijanjikan dia tiba dengan senyuman yang lebar. Namun wajahnya jelas garis kehairanan kerana melihat aku sudah setia menunggunya. Dia mendekatiku. “Dah lama sampai? Awal pulak awak hari ni.” Beritahunya. Aku tersengih.
“Tak tahulah kenapa. Tapi saya tak sabar pula nak jumpa awak.” Balasku pula. Dia memandangku tersenyum lebar. Gembira agaknya dengan jawapanku itu. “So? Nak ke mana?” soalku. Mencapai beg lalu menggalasnya ke belakang.
“Saya tak kisah. Mana awak nak pergi saya akan temankan.” Balasnya pula. Aku tertawa. Mulut manis! Berpura-pura! Fikirku. Dengan tenang aku mencapai tangannya dan menggenggamnya erat. Qalif kaget kerana sebelum ini aku tidak pernah bertindak sedemikian. Dia tersenyum. Dan biarlah dia fikir yang dia sudah menang saat ini. Kerana selepas ini antara kami tiada apa-apa kaitan lagi.
“Tengok wayang, nak? Teringin nak tengok cerita baru tu.” Beritahuku. Dia menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Dan dengan berpegangan tangan kami sama-sama melangkah ke panggung wayang yang berada tidak jauh dari tempat kami berdiri.
Sewaktu dalam panggung wayang itu fikiranku lebih banyak menerawang dari menghayati cerita itu sendiri. Sesekali mengerling ke arah Qalif yang khusyuk menonton cerita itu. Aku menghela nafas panjang. Dan saat itu juga dia menyentuh tanganku. Aku mengangkat muka memandang Qalif yang memandangku hairan. Aku hanya tersenyum dan menggelengkan kepala. Dia membalas senyumanku itu. Dan kenapa aku terasa satu perasaan aneh. Dan entah mengapa aku rasakan yang aku akan rindukan senyuman itu andai kata aku ‘berpisah’ dengannya.
Tamat sahaja cerita itu. Semua penonton bangun dan seorang demi seorang keluar dari panggung itu. Kami ikut sama bangun. Dan seperti tadi aku mencapai tangan Qalif. Dia hanya membiarkan dan melangkah bersamaku. “Makan, jom! Saya laparlah.” Beritahuku. Dia hanya mengangguk dan mengikut langkahku.
Kami masuk ke dalam sebuah restoran. Aku duduk di hadapannya. Mataku tetap memandangnya. Dan dia hanya tersenyum padaku. Seorang pelayan mendekati kami dan kami membuat pesanan. Dia menongkat dagu membalas pandanganku setelah pelayan itu berlalu. Tiba-tiba aku termalu sendiri. I have to stop this! Aku mengingatkan diri sendiri. Tak lama kemudian, pelayan yang sama mendekati kami sambil membawa pesanan kami itu. Tanpa banyak soal aku terus menjamu selera. Langsung tidak mengangkat muka memandangnya. Qalif pula hanya memandangku. Agaknya dia hairan dengan sikapku hari ini. Dengan lambat-lambat dia menyuapkan makanan ke mulutnya.
“Ari. Kejap lagi kita nak ke mana?” soalnya. Memecah kesunyian antara kami. Aku mengangkat muka, memandangnya. Baru sahaja aku ingin membalas, aku terpandang sos yang melekat di pipinya. Serta merta aku tergelak. Dia memandangku hairan. “Kenapa?” soalnya, hairan.
“Sos kat pipi awak tu.” Beritahuku menghabiskan sisa tawaku. Dia masih kebingungan. Aku mencapai sehelai tisu dan mengelap sos yang melekat di pipinya itu. Adoi, comel betul mamat ni! Fikirku. Alamak! Dah salah ni! Kena tamatkan hubungan ‘bodoh’ ni dengan cepat. Fikirku. Membuang perasaan aneh itu jauh-jauh. Dia pula hanya memandang aku. Wajahnya berubah warna tiba-tiba. Dan aku pula tidak ambil pusing tentang itu.
Aku melangkah mendahului Qalif. Tiba dahulu di kaunter. Dia pula masam mencuka. Marah barangkali apabila aku memberitahu yang aku akan membayar harga makanan yang kami makan tadi. Dan aku pula dengan selamba memberitahu yang aku ingin membelanja dia makan hari ini. Ya! Belanja untuk kali terakhir kerana keluar bersamaku. Dan pastinya dia tidak perlu tahu tentang itu. Aku mengeluarkan wang dan terus membayarnya. Tanpa banyak soal. Qalif pula masih masam. Langsung tidak bersuara apabila kami melangkah keluar dari restoran itu. Aku mendekatinya dan baru sahaja aku ingin menyentuh tangannya dia menepis tanganku kasar. Aku kaget, namun aku hanya tertawa. Langkahnya mati dan memandangku hairan.
“Marah?” soalku selamba. Menghabiskan sisa tawaku. Dia masih memandangku. Tidak mengerti dengan maksud tawaku itu. “Biarlah saya berterus-terang. Saya tak suka awak pun. Jadi anggaplah ini pertemuan terakhir kita, okey? Yang saya belanja tadi anggap aja masa bayaran pada masa yang awak habiskan bersama saya.” Selamba sahaja aku berkata. Tajam matanya memandangku. Dia kaku di tempatnya berdiri.
“Apa awak cakap ni?” soalnya. Aku hampir tertawa mendengar soalan itu. Soalan yang cukup bodoh sepanjang aku bersamanya. Dia memandangku, hairan.
“Dahlah tu. Kalau nak bohong pun biarlah bertempat. Kita sama-sama tahu yang awak bersama saya ni pun sebab nak cuba nasib. Lagipun saya bukan taste awak, kan?” beritahuku, tenang. Dia kaget. Ambik kau! Nak sangat! Getus hatiku. Puas hati aku. “Jadi lepas ni, saya takkan cari awak. Dan awak takkan cari saya. Anggap aja kita tak pernah kenal, okey?” sambungku lagi. Terus berpaling dan melangkah. Tidak mahu terus berada di situ kerana aku dapat rasakan perasaan sebak. Agaknya inilah yang dimaksudkan dengan putus cinta.
* * * *
Sebulan berlalu. Dan kehidupanku kembali ‘normal’ seperti sebelum aku bertemu Qalif. Dan betul kata orang untuk melupakan seseorang itu bukan mudah. Masa yang diambil memang lama. Dan itulah yang aku rasakan sekarang ini. Aku melontarkan pandangan ke luar tingkap. Awan mendung berarak tanda hari akan hujan. Best juga hujan-hujan ni. Boleh layan jiwang. Fikirku. Tersenyum sendiri. Dan saat itu juga pintu bilikku diketuk. Dan dengan malas aku bangun dan membuka pintu. Teman serumahku berdiri sambil tersenyum simpul. Aku memandangnya hairan. “Kenapa?” soalku ringkas.
“Ada orang nak jumpa kat luar.” Balasnya. Aku kehairanan. Siapa pulak nak jumpa hujung-hujung minggu ni? Tak tahu ke sekarang masa rehat aku? Aku mengomel sendirian. Terus keluar dari bilik dan melangkah ke pintu hadapan. Aku membuka pintu dan kaget. Mataku memandang seorang pemuda yang berdiri membelakangiku. Dan perlahan-lahan dia berpaling memandangku sambil tersenyum. Aku hanya memandangnya. Tidak mampu untuk membalas senyumannya.
“Awak nak apa?” soalku, selamba. Memandang ke arah lain. Tidak mahu memandang wajah Qalif. Dan tiba-tiba dia menarikku dan memelukku erat. Waaah! Ini sudah lebih. Dan baru sahaja aku ingin menolaknya. Dia terlebih dahulu bersuara.
“I’m sorry. Saya tahu saya silap. Saya ingat saya dapat lupakan awak. Tapi setiap hari saya hanya teringatkan awak seorang sahaja.” Beritahunya. Aku tergamam. Pelukannya semakin erat. “Saya tahu saya teruk. Tapi bagilah saya peluang untuk buktikan yang saya dah berubah. Saya…. Saya sayang kan awak.” Beritahunya. Dapat aku dengar degupan jantungnya berdetap laju. Aku hanya membisu. Namun perlahan-lahan aku menepuk belakangnya. Dan berbisik, “Saya sayang awak juga.”
Saturday, 27 June 2009
Boyfrenku Seorang Playboy
Posted by Dark at 6/27/2009 10:21:00 pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
xtau nape... tp aku suke lak cite ni walaupn aku yg tulis.. hahahaha
Post a Comment